Saya
tidak melihat diri saya hanya sebagai seorang ‘pengajar’ atau ‘pemberi ilmu’.
Ini adalah kerana, bagi saya seorang guru bukan sahaja tugasnya hanya untuk
menyampaikan ilmu, tetapi juga seorang guru haruslah bertanggungjawab sebagai
pembentuk sahsiah dan disiplin anak muridnya supaya mereka dapat menyesuaikan
diri dalam masyarakat dan mempunyai masa depan yang cerah. Pada abad ke-21 ini,
menjadi seorang guru bukan satu profesion yang mudah di mana saya perlu bijak
mengawal keadaan persekitaran dan anak murid yang banyak terdedah dengan media
massa yang mendatangkan banyak kebaikan dan keburukan.
Sebagai
seorang guru, falsafah saya yang pertama ialah saya mesti menguasai mata
pelajaran yang saya ajar. Falsafah ini merupakan aspek yang paling utama dalam
profesion sebagai seorang guru supaya anak murid saya nanti mendapat ilmu yang
relevan sesuai dengan mata pelajaran yang saya ajar. Saya sendiri perlu
mempunyai asas yang kukuh dalam mata pelajaran tersebut supaya asas pengetahuan
itu dapat disampaikan dengan baik kepada anak murid saya nanti. Saya percaya
setiap pedidik perlu menguasai dan mahir dalam bidang yang diajarnya di sekolah
nanti.
Falsafah
saya yang kedua adalah memberi motivasi kepada anak murid saya untuk meneroka
mata pelajaran yang saya ajar. Contohnya, saya merupakan seorang guru Biologi.
Subjek ini merupakan salah satu subjek yang digeruni oleh para pelajar kerana
mereka berpendapat ini merupakan ‘killer subject’ dalam peperiksaan. Saya
sebagai guru bertanggungjawab untuk menggunakan pelbagai pendekatan dan
melakukan inovasi untuk menukar ‘mindset’ anak murid saya terhadap mata
pelajaran ini nanti. saya perlu menggunakan alat bantu mengajar yang pelbagai
dan interaktif bagi menarik minat mereka untuk mempelajari mata pelajaran
tersebut. Kepelbagaian kaedah mengajar dan teknik pengurusan kelas oleh guru dilihat
mampu menjadikan anak murid lebih kreatif dan proses pengajaran dan
pembelajaran tidak lagi berpusatkan guru semata-mata.
Saya
percaya bahawa setiap sekolah perlu mempunyai tujuan yang berlandaskan kepada
menyampaikan ilmu pengetahuan, pengalaman dan pembentukan sahsiah agar mereka
dapat menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai seorang guru
adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi ilmu pengetahuan yang kukuh,
pengalaman yang berguna dan pembentukan sahsiah yang cemerlang kepada anak-anak
murid saya nanti.
No comments:
Post a Comment